Paling senang nak buat, ini teknik buat kek batik ‘legend’ dengan limpahan badam dan coklat. Gerenti sedap!

ANTARA pencuci mulut yang mudah dibuat tidak kira sama ada pada hari perayaan atau pada bila-bila masa ialah kek batik.

Paling senang nak buat, ini teknik buat kek batik ‘legend’ dengan limpahan badam dan coklat. Gerenti sedap!



Masakan tidak, dengan beberapa bahan yang mudah, sajian itu dapat dibuat dengan baik dan dalam kuantiti yang banyak.

ARTIKAL MENARIK LAIN:Buat Kek Marble Kampung Ini Mudah Sangat, Tak Pandai Baking Pun Menjadi



Pun demikian, apa rahsia untuk mengekalkan kerangupan dan kek batik tidak mudah rapuh meskipun ia telah disejukkan selama beberapa jam?

Untuk menjawab pertanyaan berkenaan, SinarPlus menghubungi salah seorang penjual kuih dari Shah Alam, Selangor, Noor Hafiza Che Abdullah yang menghasilkan Kek Batik Crunchy Choco Almond.

Memberi panduan, Noor Hafiza berkata, ketika proses mencairkan bahan-bahan seperti coklat dan mentega, kedua-duanya mesti dikacau sekali ketika adunan masih panas.

“Setelah sebati, adunan tadi disejukkan terlebih dulu selama beberapa jam demi mendapatkan tekstur yang cantik dan rangup. Itu sahaja tipnya, cubalah pasti menjadi,” kata anak jati Bachok, Kelantan itu.


Sebelum itu pesan Noor Hafiza, pemilihan dan harga mentega sangat mempengaruhi kelazatan kek.

“Boleh saja kita gantikan mentega dan marjerin biasa, ia tetap sedap dan tiada sebarang masalah, cuma rasanya akan sedikit berbeza,” katanya memberi pencerahan.

Untuk Kek Batik Crunchy Choco Almond istimewa air tangannya, wanita berusia 34 tahun itu berkata, beliau menggunakan bahan-bahan berkualiti seperti mentega dan coklat yang premium.

“Mula-mula saya pernah buat kek dengan menggunakan bahan-bahan yang biasa, namun hasil dan rasanya ternyata berbeza.

“Sejak itu, bagi menepati cita rasa pelanggan, saya memilih untuk menggunakan ramuan yang premium. Meskipun harga kek dijual sedikit mahal, kalau sedap, insya-ALLAH mereka akan sentiasa membelinya,” katanya yang melakukan banyak ‘eksperimen’ sebelum berani menjualnya kepada orang ramai.

Noor Hafiza menambah, kebiasaannya beliau tudak akan meletak hiasan, manisan atau taburan badam yang keterlaluan di atas kek batiknya.




“Saya memang elakkan letak topping kek supaya pelanggan senang nak memotongnya, melainkan atas permintaan mereka sendiri,” katanya.

Menyertai kelas membuat kek dan pastri memberi kelebihan kepada Noor Hafiza.
Disebabkan itu, beliau dapat mengimbangi tahap kemanisan yang ideal untuk setiap masakannya.

“Ya, adakalanya kek atau pastri yang dibuat terlalu manis hingga susah kita nak telan, tetapi insya-ALLAH, Kek Batik Crunchy Choco Almond saya rasa manisnya sederhana dan enak dimakan tidak kira untuk kanak-kanak atau orang dewasa,” ungkapnya.

PROFIL


Nama: Noor Hafiza Che Abdullah
Umur: 34 tahun
Asal: Bachok, Kelantan
Facebook: Noor Hafiza Che Abdullah
Instagram: @Iamnoorhafiza

RESIPI KEK BATIK CRUNCHY CHOCO ALMOND

Bahan-bahan:

– 600 gram (g) biskut marie (patahkan)
– 200g mentega
– 1 cawan milo
– 1 cawan susu pekat
– 1/2 cawan serbuk koko
– 1/2 cawan air masak
– 2 biji telur
– Esen vanila

Bahan-bahan topping

– 2 pek besar Cadbury Milk
– 100g badam kasar yang telah dibakar

Cara penyediaan:

1. Masak mentega sehingga cair, kemudian masukkan susu pekat dan kacau rata.
2. Masukkan milo dan serbuk koko, pastikan kacau segera supaya tidak berketul.
3. Seterusnya masukkan telur, kacau bagi rata, tuangkan air dan gaul sehingga sebati.
4. Biarkan bahan itu sejuk terlebih dahulu sekitar 10 minit.
5. Kemudian, masukkan biskut dan kacau rata bagi semua biskut bersalut coklat.
6. Masukkan biskut ke dalam loyang saiz 10 inci, pastikan plastik dialas supaya biskut tak melekat dan senang untuk dikeluarkan.
7. Tekan biskut sehingga menjadi padat dan masukkan ke dalam peti sejuk selama empat jam.
8. Cairkan coklat menggunakan kaedah ‘double boil’ kemudian masukkan kacang badam dan kacau sehingga rata.
9. Keluarkan kek, tuang kesemua coklat di atasnya dan masukkan semula ke dalam peti sejuk.
10. Keluarkan semula kek dan biarkan pada suhu bilik supaya kek lembut dan senang untuk dipotong.
11. Akhir sekali, siap untuk dihidang.

Kredit foto: Noor Hafiza Che Abdullah




Kredit :Sinar Plus.


Terima kasih kerana berkunjung ke laman kami. Selain daripada resepi ini, ada pelbagai variasi resepi yang anda boleh cuba. Jangan lupa juga untuk kongsikan resepi ini bersama rakan anda ya.


________________________________________________________
Untuk dapatkan makluman berita terkini, viral dan informasi berguna dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:

Post a Comment

0 Comments